Malapetaka angkara manusia rakus
ABU ‘AMMAR
LAPORAN pakar geologi mengenai perubahan cuaca yang ekstrem dan kesannya
kepada negara kita serta dunia amnya memang cukup menggemparkan. Lebih
mencemaskan pastinya laporan yang mengandaikan tiga bandar utama negara seperti Klang,
Pekan dan Miri yang bakal ditenggelami air secara kekal dalam tempoh 50 tahun lagi.
Dari segi ekonomi pastilah laporan seperti ini akan memberi kesan terhadap
nilai hartanah khususnya di ketiga-tiga kawasan tersebut. Dari segi sosial
pula, masyarakat yang rasional sewajarnya sudah mula berkira-kira untuk berpindah
ke tempat lain yang pastinya mengundang masalah lain yang lebih parah.
Ini mungkin sebahagian kecil sahaja kekalutan yang mampu ditelah buat masa
ini. Kalau diambil kira impak kepada dunia dan negara-negara lain seperti
Belanda yang berada 6.7 meter di bawah paras laut, pastinya kita boleh menjangkakan
suatu malapetaka besar yang bakal merobah landskap politik, sosial dan
ekonomi dunia akan berlaku dalam tempoh tidak sampai 50 tahun lagi.
Andaian malapetaka besar ini berdasarkan darjah kecairan ais di Kutub Utara
dan Selatan yang berlaku secara berterusan dan pada skala yang besar.
Terkini, laporan CNN jelas menyebutkan bahawa ketulan ais bersaiz 11,000 padang bola
sudah terpisah daripada bongkah utama di Artik, Kutub Utara. Fenomena
perubahan cuaca jelas berlaku di hampir semua negara di dunia termasuklah Malaysia
yang baru sahaja mengalami banjir luar biasa di beberapa negeri baru-baru
ini.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan, manusia jugalah yang harus dipersalahkan
dan menjadi punca utama kepada segala isu ketidak seimbangan alam sekitar
hari ini. Sikap manusia yang tamak, rakus, dan zalim sering kali mengundang
kepada kecelakaan dan malapetaka Tuhan.
Ini jelas diisyaratkan Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 41: Telah timbul
pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa
yang telah dilakukan oleh tangan manusia sendiri; (timbulnya demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk
yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Memang apa yang telah diisyaratkan Allah dalam kitab yang disampaikan lebih
1,400 tahun lalu jelas terbukti kini. Tidak sukar untuk mendapatkan analisis
saintifik mengenai punca ketidak seimbangan alam sekitar yang berlaku kini
seperti pemanasan global (global warming), pencemaran udara, air dan bunyi
serta pelbagai fenomena perubahan cuaca yang melanda dunia hari ini.
Pelajar di bangku sekolah lagi telah diajar mengenai kesan rumah hijau
melalui pembakaran terbuka dan pelepasan gas karbon dioksida berlebihan yang
boleh memberi kesan kepada penipisan dan kebocoran ozon yang akhirnya menjejaskan
suhu dunia.
Semuanya adalah angkara sikap manusia yang rakus untuk mengejar kekayaan dan
kemewahan duniawi hingga melanggar amanah Tuhan untuk menjaga harta yang
dipinjamkan untuk ditadbir dan diurus mengikut hukum yang ditentukan.
Amanah yang berupa perjanjian antara manusia dengan Tuhannya jelas disebut
dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah
(Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka
enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak
ada persediaan pada mereka untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia
(dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah)
sesunggunya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
melakukan perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzaab:72).
Atas amanah Allah inilah manusia dikehendaki untuk sentiasa memelihara dan
memulihara segala harta benda milik Allah. Malah nilai ketakwaan atau
takutkan Allah diukur sejauh mana seseorang manusia melaksanakan segala perintah
Allah termasuklah menjaga alam sekitar yang didiami mereka.
Malangnya masih wujud mereka yang bertopengkan manusia tetapi jiwanya tidak
lebih berupa kebinatangan yang rakus dan sombong. Nilai hipokrasi ini jelas
terpapar di kalangan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan
Australia yang sehingga hari ini enggan mematuhi Protokol Kyoto mengenai
pemanasan sedunia yang berkuat kuasa Februari 2005.
Protokol Kyoto yang dipersetujui hampir semua negara di dunia ini
mensyaratkan sektor perindustrian agar mengurangkan pengeluaran enam jenis
gas karbon yang boleh memerangkap haba yang dikeluarkan cahaya matahari sehingga
menyebabkan permukaan bumi menjadi panas sekali gus mencairkan ais di Kutub
Utara dan Selatan.
Sikap hipokrasi Amerika Syarikat dan Australia yang sering mendabik dada
sebagai juara isu-isu kemanusiaan sebenarnya turut digambarkan Allah dalam al-Quran:
Dan diantara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan
dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah
dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya. Pada
hal ia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepada mu).
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya) berusahalah ia di bumi,
untuk melakukan bencana padanya, membinasakan tanam-tanaman dan keturunan
(binatang ternakan dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
(al-Baqarah 204- 205).
Begitulah hebatnya al-Quran yang menukilkan sikap hipokrasi segelintir
manusia yang jelas terpapar dalam realiti dunia hari ini. Dunia bagaikan
diperdaya dengan kehebatan dan kemajuan prasarana, sains dan teknologi yang dimiliki
oleh negara-negara ini hingga sebut sahaja isu-isu yang cuba diketengahkan,
pasti seantero dunia bukan sahaja mengagumi bahkan mengikut sahaja tanpa
meneliti. Tetapi negara yang sama jugalah yang banyak melakukan kerosakan di
atas muka bumi dan menindas negara-negara lemah yang lain tidak kira dari segi ekonomi, politik mahupun sosial.
Hari ini kerana ketamakan mereka menguasai kekayaan dunia melalui aktiviti
perindustrian dan perdagangan, isu alam sekitar yang cukup mendesak untuk
ditangani pun tidak diambil peduli bahkan dipandang sepi.
Dalam konteks inilah amat perlu sekali nilai-nilai keadilan dan
kesederhanaan Islam ditonjolkan kembali kepada dunia. Sifat kesederhanaan
Islam atau wasothiah sentiasa memperhatikan keseimbangan dalam segala tindak-tanduk manusia.
Islam tidak pernah menghalang kemajuan ataupun melaksanakan pembangunan
prasarana dan infrastruktur yang boleh memberi keselesaan hidup kepada manusia.
Namun, Islam sentiasa mensyaratkan agar alam sekitar dan ekologi sentiasa
terpelihara. Pembangunan dan pemeliharaan alam semula jadi mesti sentiasa
seimbang agar manfaat berkekalan dan mudarat dapat dicegah sama sekali.
Sebab itulah antara prinsip utama yang wajib dipatuhi oleh manusia dalam
melaksanakan pembangunan ialah untuk sentiasa menilai secara teliti aspek
kemudaratan dan kemanfaatan. Kaedah syarak ada menyebut: “Menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada mengambil kemanfaatan.”
Ini bermakna apabila bertembung antara keburukan dengan maslahah atau
kebaikan, maka wajib menolak keburukan sekalipun tindakan tersebut akan
menghilangkan kemanfaatannya.
Begitulah juga dalam konteks pembangunan dan kemajuan yang jelas manfaatnya,
mestilah sentiasa diimbangi dengan menilai aspek kemudaratan yang dibawanya.
Sekiranya kemudaratannya lebih besar hingga boleh mencetuskan malapetaka
alam sekitar maka kebaikan yang terhasil daripada pembangunan mestilah diketepikan terlebih dahulu.
Demikianlah Islam mendatangkan pelbagai garis panduan dan prinsip yang harus
diguna pakai dalam mentadbir kehidupan duniawi termasuklah berkenaan isu alam sekitar. Pengkhianatan kepada peraturan Allah inilah yang bakal menatijahkan malapetaka besar yang bukan sahaja membinasakan diri sendiri malah seluruh
kehidupan di atas muka bumi Allah ini.